Sunday, May 22, 2011

Travelog: Terminal Bersepadu Selatan - Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS))

Oleh MKA,

Bagi mereka yang pernah menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke destinasi selatan atau sebaliknya mulai Januari 2011 pastinya telah menggunakan TBS ini. Fungsi utamanya bukanlah sebgai ganti kepada hentian puduraya tetapi hanya mengabil alih sebahagian dari trafik bas ekspres untuk ke selatan sahaja. Dianggarkan, dengan siapnya terminal ini, sebanyak 500 trafik sehari di Puduraya dapat dikurangkan. Dari respon yang penulis terima dari rakan-rakan yang pernah menggunakan terminal baru ini yang dibina sebahagiannya di atas sebuah tasik yang nama tempatnya juga adalah suatu tasik ini adalah sangat positif.


Luas kawasan terminal ini ialah 20 hektar. Lokasinya yang amat strategik terletak berdekatan dengan stesen KLIA Express Rail Link (ERL) Bandar Tasik Selatan, Star LRT dan juga KTM Komuter menjadikan terminal ini dapat diakses dari pelbagai cara. Secara keseluruhannya, terminal ini mengandungi bangunan terminal utama enam tingkat, 21 ruang bas berlepas, 18 ruang ketibaan bas, 31 ruang bagi teksi perjalanan jauh dan 1,372 ruang parkir. Sudah tentunya dengan kemudahan yang amat mencukupi serta moden ini membuatkan para pengguna dan pelawat akan berasa amat selesa.

First impression memang sangat penting bukan sahaja kepada calon temuduga jawatan pekerjaan, tetapi ianya juga terbukti penting kepada penulis kerana kawasan parkirnya yang cantik serta teratur memberi gambaran yang baik kepada terminal ini walaupun sebelum penulis melangkah masuk ke dalam bangunan terminal. Kawasan parkirnya yang luas serta mempunyai pencahayaan yang baik membuatkan sesiapa sahaja berasa selamat, lebih-lebih lagi kepada pemandu wanita yang memandu sendirian. Rondaan pengawal keselamatan berkala yang tetap membuatkan kawasan ini amat selamat.


Tidak hanya dengan susunan petak kereta yang memuaskan, disediakan juga kawasan yang dikhaskan kepada pejalan kaki. Walaupun ini tidak bermaknan risiko kemalangan boleh dihapuskan sepenuhnya, tetapi sekurang kurangnya ia dikurangkan kepada tahap yang amat selamat.

Kawasan letak kereta setinggi empat tingkat kesemuanya memang mencukupi untuk sebuah terminal bas. Dengan tiada kawasan membeli belah atau tarikan lain disekitarnya, boleh dijamin bahawa kesemua kawasan parkir ini hanya untuk pelawat terminal sahaja.



Terminal ini juga dilengkapi dengan ruang yang dikhaskan untuk teksi jarak jauh. Bagi yang inginkan pengangkutan transit yang fleksibel, teksi limusin semestinya pilihan yang paling ideal.

Ada yang mengatakan bahawa, "Jika bukan kerana tandas awamnya, Malaysia adalah sebuah negara yang amat cantik". Maka penulis terpanggil untuk membuat penilaian dari satu aspek yang teramat penting iaitu tandas awam terminal ini. Keputusannya ialah, sangat bersih tetapi mempunyai kelengkapan yang sederhana. Pada waktu ini, penulis gagal untuk mendapatkan tisu serta sabuh basuh tangan yang kehabisan. Jika tidak, ia adalah sebuah tandas lima bintang.
Jangan ingat hanya terminal udara sahaja boleh dilengkapi dengan skrin elektronik jadual berlepas dan ketibaan. Di TBS, keadaannya sangat mirip terminal udara. Info yang dipaprkan juga adalah "real time" dan hampir tepat.
Anda juga tidak perlu pergi ke kaunter untuk mendapatkan info terminal. Selain untuk membuat "pager" kerana kehilangan anak atau isteri di terminal ini, semua info terminal dan tunjuk arah boleh dilakukan oleh kiosk interaktif ini. Tetapi pada waktu ini, maklumat yang disediakan belum sepenuhnya dimuat naikkan kedalam sistem.
Pengguna digalakkan membeli tiket secara "online" atas sebab-sebab keselamatan. Namun kaunter tiket masih disediakan untuk pengguna yang tiada akses internet atau yang tidak mengetahuinya. Namun konsep belian atas talian masih dipraktikkan cuma tempat dan pembayaranya sahaja berlainan. Penumpang bukan sahaja boleh memilih syarikat bas, malah boleh meminta untuk disyorkan syarikat bas yang mana paling sesuai.
Kawasan didalam gambar di atas adalah tempat makan, tetapi pada waktu penulisan, hanya sebilangan kecil sahaja kedai yang memulakan operasi.
Apa yang menarik perhatian penulis, ada juga disediakan tempat khas mencuci tangan. Mungkin ini adalah dari kesedaran betapa pentingnya tangan yang bersih dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit.
Apa yang dapat dilihat, kadar bayaran letak kereta terminal ini adalah sangat mahal. RM 4 untuk jam pertama dan RM2 setiap jamberikutnya boleh dikatakan terlalu mahal. Tetapi selalunya anda tidak perlu untuk menunggu lama untuk mengambil atau menurunkan penumpang. Jika tidak perlu, anda boleh juga menurunkan penumpang di "drop-off point" yang disediakan tanpa perlu membayar sesen pun. Pada waktu penulisan ini, kadar bayaran ini masih belum dikuatkuasakan.
Hanya pemegang "boarding pass" yang sah sahaja boleh memasuki lobi perlepasan. Bezanya dengan terminal udara cuma ianya tidak mempunyai kaunter imigresen. Jalan masuk ke lobi ini dikawal ketat oleh polis bantuan.
Bagi yang sudah mendapatkan tiket atau e-tiket anda masih perlu untuk mendapatkan "boarding pass". Boarding pass membolehkan anda memasuki terminal berlepas yang dikawal ketat. Tetapi ingat, jika anda sudah mengambil "boarding pass" tetapi terlewat untuk menaiki bas, nama anda akan dipanggil dengan menggunakan mikrofon dan akan kedengaran di segenap terminal. "Boarding pass" akan tertera nama penumpang, maka anda tidak dibenarkan untuk bertukar-tukar "boarding pass". Untuk memasuki terminal perlepasan, anda kan diminta untuk menunjukkan "boarding pass" serta ID sekali. Pastikan maklumat pada kedua-dua dokumen adalah sama.
Kiosk automatik "boarding pass" ada disediakan sebanyak 6 buah kesemuanya. Namun yang demikian, pada waktu penulisan ini, ia masih belum berfungsi sepenuhnya. Jika berfungsi, anda boleh membeli tiket secara tunai mahupun menggunakan kad Touch & Go.
Lobi tiket terminal ini memang luas bagi mengelakkan kesesakan terutama pada musim perayaan.
Kaunter informasi ada disedikan bagi membantu orang ramai.
Jika anda dari terminal LRT, Komuter atau KLIA Ekspress, terdapat jambatan pejalan kaki berbumbung disediakan.

Selain itu, troli juga disediakan untuk kemudahan penumpang yang membawa muatan yang besar.


Peta di atas menunjukkan TBS serta stesen serta hentian pengankutan awam lain yang berdekatan. Dari pengamatan penulis, kawasan terminal ini memang sangat strategik serta mudah diakses samada menggunakan pengangkutan awam mahupun kenderaan persendirian. Namun bagi yang menaiki kenderaan sendiri, anda harus memikirkan keadaan trafik MRR2 yang menjadi satu-satunya jalan masuk ke terminal ini. Jika jadual perjalanan anda pada waktu sesak, datanglah awal untuk mengelakkan anda tertinggal bas. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, anda adalah orang yang bijak.

Kesimpulannya, penulis berasa amat kagum dengan kemudahan yang disediakan. TBS adalah benchmark baru kepada perkhidmatan bas Malaysia yang sepatutnya menjadi contoh kepada terminal bas yang lain. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan ia adalah antara terminal bas ekspress yang tercanggih didunia. Kemudahan yang mencukupi, ruang makan yang besar dan bersih, kedai makanan yang berkualiti dan yang paling penting tandas yang bersih membuatkan pengalaman perjalanan anda dengan bas ekspress tidak lagi seperti dahulu. Bagi yang hanya untuk melihat terminal baru ini, anda sangat-sangat digalakkan. Penulis memberikan TBS-BTS 4.5 bintang. Sekian. Selamat mencuba.

0 komen: