by MKA,
Cuti panjang tahun baru cina yang bersambung dengan cuti hujung minggu menyebabkan hampir semua destinasi tarikan pelancong (dan juga pelencong) mencatatkan kedatangan yang amat luar biasa, luar jangkaan dan di luar batasan. Jika anda hadir lewat ke destinasi yang diingini, beberapa perkara yang anda harus expect seperti kesesakan lalu lintas (orang lalu melintas depan kereta anda), tiada parking dan yang lebih buruk lagi tak boleh masuklangsung. Itulah yang terjadi kepada kami yang konon bercadang untuk melawat Zoo Melaka. Alangkah terkejut beruk kami melihat pintu masuk Zoo Melaka yang dipenuhi sejenis spesis binatang Homo Sapiens (mengikut terma saintifik) yang mengerumuni pintu masuk sehingga memang dah tak boleh masuk lagi dah. Jadi kami membuat U-turn (halal tau) untuk ke Taman Mini Malaysia pula sebagai pilihan terakhir.
Pintu masuk Taman Mini Malaysia yang sungguh indah menawan hati.
Yuran masuk ke taman ini adalah RM 5.00 satu kepala untuk dewasa atau yang nampak seperti dewasa dan kanak-kanak pula dikenakan bayaran sebanyak RM3.00. Baby dibawah 3 tahun, masuk adalah FOC.
Kali terakhir penulis menjejakkan kaki (tapi tidaklah berkaki ayam) di taman ini adalah pada tahun 1989 selepas masihi. Maka masuk tahun ini sudah 22 tahun sejak kali terakhir berada di sini. Itu pun mujurlah zoo penuh, kalau tidak, tak tau lah bila lagi.
Walaupun yang demikian, penulis merasakan selepas 22 tahun tidaklah banyak peningkatan dan penambahbaikan yang telah dilakukan. Pedestrian walkway taman ini seakan-akan tidak pernah diselenggara. Lebih-lebih lagi kepada ibu bapak yang membawa anak kechil dengan menggunakan stroller. Dengan jalannya yang bumpy boleh membuatkan kanak2 tidak selesa dan yang menolaknya pun boleh diserang sakit tangan yang serius. Selepas berjalan buat seketika dibelakang seorang pengunjung yang badannya berbau busuk, kami tidak berlengah lagi untuk melarikan diri ke tempat lain. Kami masuklah ke rumah yang pertama kami yaitu Rumah Pulau Pinang. Rumah pulau pinang adalah yang ke-2 selepas rumah Perlis yang kami skip dek kerana pak cik busuk itu masuk ke rumah itu.
Papan informasi yang penulis rasa yang sama semasa penulis jumpa pada 22 tahun sebelumnya.
Dapur rumah Pulau Pinang.
Pemandangan luar rumah Pulau Pinang.
Kesimpulan yang dapat dilakukan setelah melawat satu rumah adalah hampir kesemua rumah-rumah ini berada dalam keadaan yang tidak memuaskan. Ini mungkin disebabkan oleh penyelenggaraan tidak dilakukan dengan betul. Ia amat mendukacitakan kerana ia boleh memberikan gambaran negatif oleh pelancong-pelancong asing.
Irdina bermain-main dengan peralatan rumah yang dipamerkan.
Papan informasi: yang ini kira ok lah.
Katanya rumah Pulau Pinang, entah ye atau tidak, tidaklah teman pasti. Dah diorang kata rumah PP, kita angguk je leee.
Punye lah nak tunjuk yang ia dibersihkan selalu, siap display feather duster tuuuu.
Rumah Sarawak tidak dibenarkan masuk kononya under maintenance.
Rumah Ganu kite
Rumoh Kelate. Perhatian, budu tidak dijual di sini.
Irdina melihat luar dari jendela
Selain dari taman mini Malaysia, terdapat juga taman mini ASEAN. Disini terdapat rumah-rumah tradisi dari serata negara ASEAN. Namun yang demikian, tidak ramai pengunjung yang sanggup berjalan kaki memasuki taman ASEAN ini kerana mungkin ianya agak jauh dari pintu masuk, agak tersorok dari rumpun rumah-rumah tradisional Malaysia dan juga mungkin juga penyelenggaraan yang amat teruk sekali.
Gambar di atas ialah sebuah rumah Filipina. Dari reka bentuknya, ia bukanlah rumah tradisional Filipina, tetapi ia adalah senibina kolonial Sepanyol. Hanya orang-yang kuat semangat serta keimanan yang tinggi sahaja mampu untuk masuk kedalah rumah ini. Tanpa penjagaan yang baik, ruang dalamn rumah ini kurang seram sedikit sahaja dari rumah Mak Lampir.
Ini adalah jalan masuk ke perkampungan Thai. Rumah-rumah yang tersergam indah serta luas memang menggamit permandangan, tapi hampas, satu pun tidak boleh masuk pada waktu tersebut kerana kononya dalam proses penyelenggaraan.
Perkampungan Singapura. Dari sebuah pintu yang terbuka disebelah kanan sekali, nampak seolah-olah rumah ini dijadikan sebagai stor simpanan barang-barang rosak.
Terdapat sebuah tasik yang indah. Ini bukanlah main-main, tetapi pendapat ikhlas dari penulis. Jika ia dihias dengan cantik serta dijaga dengan baik, ia mampu menjadikan taman ini antara yang terindah di Melaka.
Rumah air di atas ini adalah rumah air Brunei. Jika dijaga dengan baik dan dihias dengan sempurna, ia boleh jadi tarikan antara yang terindah di Melaka. Tapi sayang seribu kali sayang, sejuta kali sayang pun tidak berguna jika tiada tindakan diambil segera. Bahagian dalaman rumah ini tidak dihias dengan baik menjadikan ianya sangat menakutkan.
Selain dari pertunjukan rumah usang, terdapat juga aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak seperti horse riding, bunny feeding dan donkey feeding. Yang ni bagus. Harus dikekalkan.
Jalan keluar.
Selepas penat berjalan dalam panas buta, kami singgah sebentar di sebuah restoran yang terdapat di luar taman ini. Nama restoran ini ialah Nasi Ayam Suria ia terletak disebelah kanan sekali dari barisan kedai di luar taman ini, ia juga adalah kedai terakhir sekali dan paling jauh dari pintu masuk. Kami memesan Nasi Ayam dan Nasi Goreng Ayam. Nasi Ayam RM 4.00, nasi goreng ayam pula hanya RM 4.50. Walaupun ianya tidaklah berapa mahal, tapi rasanya memang enak. Kami memang rekomen yang ini. Kami menganugerahkan kedai ini dengan anugerah tertinggi kami yaitu anugerah "Terbaik......".
Kesimpulannya, Taman Mini Malaysia dan Taman Mini ASEAN boleh menjadi taman yang terbaik di rantau ini jika ianya dijaga dengan baik, dihias, dipenuhi dengan aktiviti yang menarik serta di promosikan dengan agresif, ia mampu menjadi tarikan pelancong antara yang paling popular, bukan setakat di Melaka, bukan setakat di Malaysia, malah boleh menjadi terkenal dikalangan negara-negara ASEAN.
Jika para pembaca ingin melawat taman ini, kami syorkan agar saudara-saudara sekalian dapat menghayati sendiri pengalaman kami dan menilai kebenaran tulisan kami. Jika saudara ingin berkunjung ke Zoo Melaka tapi penuh, boleh juga melawat taman ini.
Untuk ke sini mudah saja, dari KL, ambil lebuh raya utara selatan, pandu ke arah selatan dan keluar di exit Ayer Keroh. Dari situ pandu terus serta terjumpa taman ini. Jika tidak jumpa juga, mungkin dah tak lama dah tu.
Sekian sahaja.